Kategori : UMUM

SEJARAH PENUBUHAN

Mula ditubuhkan pada tahun 1976 dan dikenali sebagai Politeknik Kuantan dan merupakan Politeknik kedua ditubuhkan di Malaysia selepas Politeknik Ungku Omar. Politeknik Kuantan beroperasi di bangunan Sekolah Menengah Teknik Kuantan sebagai kampus sementara sebelum berpindah ke kampus baharu di Semambu pada tahun 1983. Pada tahun 1985, perasmian kampus baharu telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar dan nama Politeknik Kuantan ditukar kepada Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah. Pada awal penubuhannya, pengambilan pelajar hanya melibatkan tiga kursus iaitu Sijil Kejuruteraan Awam (Pembinaan), Sijil kejuruteraan Elektrik (Kuasa) dan Sijil Kejuruteraan Jentera (Am). Mulai tahun 1989, sistem semester mula diperkenalkan dengan pengambilan pelajar dua kali setahun iaitu untuk Sesi Januari dan Julai. Pada 16 Oktober 2002, POLISAS maju selangkah lagi dengan penyerahan premis Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan (MPTAA), Semambu, sebagai Kampus B POLISAS apabila maktab perguruan ini berpindah ke kampus barunya di Kuala Lipis. Kampus B yang mempunyai keluasan 27.2 hektar ini digunakan sebagai bilik kuliah dan makmal mulai Sesi Julai 2002. Sejajar dengan perkembangan dan pertambahan bilangan pelajar, POLISAS pesat membangun dengan pembinaan bangunan baru dan pengubahsuaian blok-blok kuliah, bengkel, makmal komputer, makmal sains dan bangunan pentadbiran. Projek naik taraf di bawah pembiayaan pinjaman Bank Dunia telah siap sepenuhnya dan keseluruhan bangunan baru telah digunakan secara rasminya bermula 8 April 2004.

 

LATAR BELAKANG

Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) merupakan satu langkah kerajaan bagi menambah bilangan tenaga terlatih bertujuan untuk mendidik dan melatih lepasan SPM dan SPM (V) bagi memenuhi keperluan tenaga kerja separa profesional dalam bidang kejuruteraan dan perdagangan. Sehingga kini terdapat 36 buah politeknik di seluruh Malaysia. POLISAS menawarkan Program Asasi Teknologi Kejuruteraan dan 14 program pengajian peringkat Diploma di bawah lima Jabatan utama iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Teknologi Makanan dan Jabatan Perdagangan. Sehingga 2024, POLISAS telah melahirkan seramai 60559 orang graduan.